Monday 27 April 2015

akhbar terkini


UPM jalankan penyelidikan peringkat kedua daun rerama ubati kanser


SERDANG, 13 Mac – Umum mengetahui barah antara penyakit yang sukar diubati, dan untuk sekian lamanya pelbagai penyelidikan dilakukan banyak pihak untuk mencari dan menghasilkan ubat serta kaedah perubatan terhadap penyakit yang boleh membawa maut ini.

Usaha berterusan para penyelidik mungkin akan dapat merintis jalan menemui ramuan atau ubat yang berkesan untuk menangani penyakit yang digeruni itu. Kajian awal oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) terhadap tumbuhan yang dikenali sebagai ‘daun rerama’ atau Red Butterfly Wing, atau nama saintifiknya Christiavespertilionis ini, mendapati ia menunjukkan ciri-ciri anti barah dan anti keradangan.

Justeru, UPM akan menjalankan penyelidikan selanjutnya dengan menjalankan saringan dan ujian pra-klinikal peringkat kedua terhadap daun rerama.
 Pensyarah dan penyelidik Jabatan Sains Bioperubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM, Prof Madya Dr Latifah Saiful Yazan berkata kajian peringkat kedua ini akan dijalankan terhadap haiwan (in vivo).

“Dalam kajian itu nanti, sel barah payudara akan disuntik ke dalam tikus, dan kemudian ia akan dirawat dengan ekstrak daun rerama,” katanya dalam temu bual.

Tanaman daun rerama ini diusahakan Encik Khamarul Rezan Lim Abdullah, 58, yang dikatakan bukan sahaja berkesan merawat barah tetapi juga berupaya mengubati penyakit SLE, denggi, angin ahmar, darah tinggi, kencing manis, masalah usus (seperti gastrik, sembelit dan cirit birit), asma, migrain, resdung dan demam campak. Dr Latifah berkata kajian peringkat kedua itu akan menggunakan sebahagian daripada Enterprise Innovation Fund (EIF) sebanyak RM300,000 yang diperuntukkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi(MOSTI). 
 Menurutnya, saringan pertama yang dilakukan pada 2103 secara in vitro, menggunakan ekstrak daun rerama terhadap enam jujukan sel barah yang sukar dirawat termasuk barah payudara, peparu, usus besar, serviks dan ovari, mendapati sel yang paling sensitif ialah sel kanser barah payudara.

Katanya, saringan kedua ini juga akan meneliti profil kimia daun rerama. Dr Latifah berkata, setakat ini sebagaimana yang dimaklumkan kepadanya oleh Encik Khamarul Rezan, secara umumnya ekstrak daun rerama ini tidak mendatangkan kesan sampingan kepada penggunanya.

Kaedah rawatan yang digunakan ialah meminum rebusan air daun rerama ini, sebagaimana konsep merendam dan meminum air teh.

Menurutnya, daun rerama ini terdapat dalam pelbagai warna tetapi yang digunakan untuk penyelidikan bagi tujuan perubatan ialah daun rerama yang berwarna hijau. Pokok ini boleh mencapai ketinggian kira-kira dua meter, dan bagi mempercepatkan percambahan, pucuknya harus selalu digunting, katanya. - UPM